REVIEW: Nikina by Nadia Khan

BukuFixi در توییتر "Memperkenalkan 6 judul Fixi terbaru untuk ...

Oleh Farhira Farudin

Saya mula membaca tulisan Nadia Khan melalui novel pertama beliau 'Kelabu'. Sehingga kini, saya boleh katakan Kelabu merupakan antara novel Melayu yang terbaik saya pernah baca. Watak-watak di dalam novel itu terasa hidup dan perjalanan hidup mereka terasa realistik sehinggakan saya tertanya jika watak-watak itu diinspirasikan oleh individu dan kehidupan yang sebenar. Ternyata bukan. Nadia Khan memang berbakat dalam mencipta watak-watak yang membuatkan terikat dengan mereka untuk masa yang lama.

Setelah mengikuti perkembangan karya tulisan beliau, sudah tentu pengumuman tentang 'Nikina' buat saya teruja. Malah lebih teruja apabila jika dibaca sinopsis di belakang buku, ini merupakan novel cinta. Jikalau kita melihat karya Nadia Khan yang sebelumnya, kisah cinta yang realistik - bukan yang sering kita lihat di drama TV3 - memang makanan beliau.

Nikina mengisahkan tentang pasangan yang jatuh cinta sejak sekolah menengah dan menempuh senang susah bersama dan seterusnya membuktikan orang di sekeliling bahawa mereka mampu untuk hidup bersama, walaupun mereka kahwin muda. Namun, seperti setiap perkahwinan yang lain, mereka menempuhi dugaan yang besar sehingga mereka terpaksa terpisah buat masa yang lama.

Nikina di ceritakan melalui beberapa sudut pandangan. Tidak silap saya, terdapat tiga watak yang menceritakan perspektif masing masing tentang kisah cinta Nik dan Kina. Bagi saya, penceritaan sebegini tidak disampaikan dengan baik oleh Nadia Khan. Jalan cerita terasa sedikit tergesa-gesa dan plot twist yang wujud juga tidak mampu untuk menutup cela 'plot hole' yang begitu banyak. Malah, ada juga bahagian yang bagi saya tidak masuk akal.

Saya sukakan watak watak dalam Nikina. Seperti yang saya kata, Nadia Khan bijak dalam menghidupkan watak watak beliau sehingga terasa realistik dan mereka ini wujud di antara kalangan kita. Cuma penceritaan yang lemah membuat saya tidak gemar dengan kisah antara Nik dan Kina. Terdapat banyak persoalan yang saya ada pada setiap bab.

Saya juga berasa novel kali ini sangat pendek jika nak dibandingkan dengan Kelabu. Kelabu merupakan cerita yang boleh tamat dalam 250 muka surat, tapi penceritaan yang terperinci, walaupun panjang, terasa menarik kerana beliau betul-betul buat pembaca mengenali watak sebelum membuka laluan kepada konflik. Nikina terasa seperti digesakan dan terlalu pendek bagi sebuah kisah cinta yang begitu rumit. Saya rasa tidak habis mengenali lagi watak Nik dan Kina ini.

Nak kata kecewa teruk pada novel ini, tidak juga. Saya menikmati cerita ini, walaupun penceritaan nya boleh dibaiki lagi. Cuma jika Nadia Khan diberi peluang untuk menulis kembali Nikina, saya mengharapkan percubaan itu dapat menambat hati pembaca seperti saya untuk betul betul mengenali watak utama dalam cerita ini.

Comments

Popular Posts