Dokumentari: Video Viral Si Pembunuh Kucing Bertukar Menjadi Tragedi Pembunuh Bersiri

Oleh Farhira Farudin
Dokumentari bersiri "Don't F**k with Cats" yang ditayangkan di Netflix telah mendapat perhatian ramai di atas kekejaman seorang pembunuh bersiri yang merakam aksi beliau menyeksa kucing dan kemudiannya muat naik rakaman tersebut di Youtube.
Siri ini mengisahkan kegigihan pengguna Internet yang berang dengan tindakan pembunuh tersebut yang menyeksa anak kucing sehingga mati. Rakaman kekejaman tersebut telah mendapat perhatian di seluruh dunia dan kemudiannya bertukar menjadi penyiasatan oleh beberapa individu yang ingin menangkap pembunuh tersebut.
Malah, misteri penyiasatan menjadi bertambah rumit apabila pembunuh tersebut seolah-olah mengetahui bahawa beliau sedang dijejaki, malah beliau dengan sengaja menyulitkan lagi siasatan yang dijalankan dengan menyamar sebagai salah seorang individu yang terlibat dengan penyiasatan tersebut.
Keadaan menjadi bertambah ngeri apabila pembunuh tersebut yang asalnya hanya membunuh anak kucing bertukar menjadi pembunuh manusia, apabila rakaman pembunuhan tersebut sekali lagi dimuat naik di laman Youtube dan ditonton berjuta juta orang. Penyiasatan yang asalnya dijalankan secara tersorok kini telah melibatkan pihak polis dan ahli-ahli politik di Kanada.
Siri ini telah dinamakan sebagai antara siri jenayah yang paling mengerikan. Susah untuk percaya bahawa seorang individu tergamak membunuh insan yang tidak berdosa, malah beliau begitu bangga dengan perbuatan tersebut. Dokumentari ini akan membuat anda tidak senang duduk dengan pelbagai plot twist yang terdapat sepanjang penyiasatan dijalankan. Saksikan "Don't F**k with Cats" di Netflix untuk mengetahui identiti sebenar pembunuh bersiri ini. Jawapannya pasti akan mengejutkan anda.
Comments
Post a Comment