KAMPUNG KOTAK


Gambar hanyalah sekadar hiasan
Sumber: Pinterest



Nama aku Langsi. Umur aku 28 tahun. Hari ini adalah hari terakhir aku hidup, aku bakal menghadap hukuman gantung. Jadi sebelum aku mati, aku ingin sampaikan cerita ini kepada orang yang sudi mendengar. Aku tahu di dalam sel ini, aku seorang di sini menunggu saat mati.

Aku dilahirkan di Kampung Kotak, petempatan di tepi bandar. Aku tak pernah kenal siapa ayah aku, mak aku tak suka aku tanya pasal ayah aku. Pernah sekali aku ditampar sebab aku cakap apa yang cikgu cakap,"kalau tak pernah kahwin tapi ada anak, anak tu namanya anak haram". Aku cuma ulang apa yang cikgu cakap, pasal mak aku kata dengar cakap cikgu. Tapi bila aku ulang, mak aku marah aku. Sejak tu aku tak nak ambil tahu pasal ayah aku. Sejak tu aku tak percaya apa yang cikgu cakap. Mak aku suruh aku percaya, tapi bila aku dengar kata, aku dapat pelempang.

Ah! masa tu aku budak lagi, aku tak tahu apa-apa. Apa yang aku tahu setiap malam ada lelaki lain masuk bilik mak aku. Kadang-kadang bermisai, kadang-kadang pakai kot, tali leher macam orang kaya, kadang-kadang orang pakai kopiah pun ada. Mak aku suruh main jauh-jauh. Jadi setiap malam aku keluar. Masa tu aku 8 tahun, jadi aku kenal seorang budak nama dia Lanang. Dia kira dah besar juga la dalam 12 tahun. Jadi aku selalu ikut dia.

Satu malam, Lanang ajak aku ke satu tempat. Dari situ aku tahu kat mana Lanang selalu dapat makanan. Kedai runcit Wak Tiam tu ada lubang tapi takda orang perasan. Aku mula-mula takut, sebab cikgu kata 'mencuri tu salah'. Tapi sejak aku kena penampar dengan mak aku, aku tak percaya kata cikgu. Cikgu semua penipu.  Buku-buku sekolah tu semua tipu. Aku rasa orang yang masuk universiti tu semua bodoh sebab kena tipu, tapi dia ingat diri dia pandai. Apapun, hari tu Lanang dengan aku kenduri besar. Kami curi roti, ayam dalam tin, ada daging-daging sosej tu, banyak lagi la. Yang kena masak tu kami buat unggun api, bakar dan kami makan sama-sama.

Satu hari, kawasan tepi bukit Kampung Kotak dirobohkan. Aku nampak orang kampung meraung-raung sambil polis sebat-sebat dengan cota. Perempuan dengan anak-anak kecil semua rumahnya diruntuhkan. Aku nampak ada wakil rakyat pakai songkok ada bunga dalam kocek tengah bergelak-gelak dengan seorang mamat necktie pakai helmet putih. Dengar kata nak buat projek rumah orang kaya-kaya. Masalahnya, apa yang aku ingat aku dah duduk sini dah lama kenapa polis ni suka-suka halau orang? Oh, diaorang ni pencuri tanah rupanya.Ye la kalau nak berjaya mesti kena mencuri. 

Masa aku umur 14 tahun, aku berhenti sekolah. Bosan lah sekolah, balik-balik cikgu maki aku. Dia panggil aku bodoh, bangang, dia tak sedar dia pun bodoh sebab dia suruh baca buku tapi bukan dia tahu dalam buku tu menipu ke tak. Kalau takat tulis-tulis macam tu aku pun boleh tulis. Lagipun bosan kat sekolah tu. Semua budak ingat diri dorang pandai, baca buku, tulis-tulis,boleh jadi pandai? 

Masa tu Lanang masuk gengster. Aku rasa bangga sebab member baik aku, yang aku dah anggap macam abang sendiri masuk gengster. Lepas ni takda siapa berani pukul aku lagi. Aku rasa macam dunia ni aku yang punya. Sejak tu, aku belajar dari Lanang macam mana nak jual dadah, nak guna pistol, macam mana nak rompak kedai emas.

Satu hari aku kat kedai makan, aku tengok kat TV wakil rakyat yang robohkan kampung aku, gelak-gelak dengan arkitek tu ada dalam tu. Dia dilantik jadi menteri apa entah. Peduli apa aku, dia pencuri mestilah berjaya. Aku pun pencuri juga,aku pun berjaya. Duit aku banyak, aku dengan Lanang tak pernah risau pasal duit. Takda duit aku jual dadah. Kadang-kadang aku tipu, dadah tu aku campur dengan serbuk ubat gegat. Ala, orang bukan tahu pun dah lalok mana ambil tau lagi.





Aku datang balik ke Kampung Kotak masa aku 18 tahun. Aku tengok kawasan tu dah jadi kawasan perumahan. 10 tahun yang lalu kawasan rumah ni adalah Kampung Kotak. Tapi selepas itu rumah aku terbakar, rumah orang lain terbakar tak tahu siapa yang bakar. Tahu-tahu dah jadi kawasan perumahan. Kawasan orang kaya pula tu. Aku rasa wakil rakyat tu mesti dah kaya raya. Dengan sebiji rumah harga mahu cecah juta-juta.
Dulu orang semua hina-hina aku. Aku anak Kampung Kotak, aku anak setinggan, aku anak orang miskin. Sekarang tengok la siapa kaya siapa miskin? Aku umur 22 tahun tapi aku dah boleh bawa kereta besar. Kau yang masuk universiti dapat apa? Hari-hari makan megi. Bukan aku tak tahu,hari-hari aku beli arak dekat 7-Eleven tu, nampak muka mat skema ni beli megi. Muka pun macam bodoh je, tapi berlagak pandai.

Aku tak pernah ambil tahu mana mak aku sekarang. Sejak aku berhenti sekolah,aku ikut je Lanang. Aku tak pernah ambil tahu. Berapa ramai lelaki lagi nak tidur dengan dia. Aku rasa dah takda kot, sebab dia pun dah tua. Aku buat benda yang sama macam mak aku tapi peliknya aku tak rasa bersalah pun buat macam tu sebab aku tengok lelaki pakai kopiah pun join sekali. Dulu pun lelaki pakai kopiah ada jugak masuk bilik mak aku. Orang kata yang pakai kopiah ni orang baik-baik,pergi masjid. Ala relax la, manusia ni semuanya bertopeng. Ada yang konon-konon je baik tapi macam aku juga. Lantak la, yang penting hidup aku puas.

Satu hari aku bertekad nak rompak rumah menteri kat bekas tapak Kampung Kotak tu. Memang aku dah tengok lama dah. Dengan pengalaman aku yang banyak ni,aku rasa aku boleh rompak, takda masalah. Aku pun perlahan-lahan,masuk dalam rumah menteri tu. Aku nampak anak perempuan dia, cantik. Walaupun dah berapa ramai perempuan aku dah tidur, tapi aku tak pernah jumpa secantik ni. 

Aku tunggu rumah dia gelap baru aku masuk. Pukul 2 pagi aku pecah masuk. Aku ambik harta-harta dia. Aku tak pandang TV ke, home theatre ke sebab angkat berat, jual murah. Aku cari barang kemas. Aku cari barang berharga, duit. Dengan kepakaran aku,aku dapat pecah safety box dia. Duit cash aku pegang tak cukup tangan. Aku masuk dalam beg,aku letak luar dan tiba-tiba aku terdengar bunyi tembakan dan badan aku rasa pedih sangat. Aku tak mampu nak angkat tangan aku dan badan aku jadi lumpuh, dunia aku jadi gelap gelita. 

Sejak kejadian itu penjara adalah rumah aku, sampailah hari ni. Aku akan dihukum gantung sebentar lagi. Pegawai penjara tu tanya aku,"ada permintaan terakhir?"

Aku tak minta benda lain sebab aku rasa semua benda aku dah merasa. Tapi aku ada satu kemusykilan yang aku nak tanya. Pegawai tu tanya la balik,"apa dia?"

Maka aku ajukan soalan ini dekat pegawai tu:
"Sebelum aku mati,aku nak tanya, kenapa orang yang rompak tanah kampung aku boleh jadi menteri, tapi bila aku rompak balik dia, kau tangkap dan hukum aku?"



Comments

Post a Comment

Popular Posts