Awan Putih


Gambar sekadar hiasan
Harini tak macam selalu, langit kelabu-kelabu sahaja warnanya.

Dia terjaga pada waktu matahari masih lagi empat puluh lima darjah dari tegaknya cahaya yang boleh hilangkan bayang-bayang sendiri. Dia buka tingkap hatinya, seluas yang mungkin untuk mencari zarah-zarah jiwa yang tersembunyi.

Apa tujuan sebenar kau hidup wahai makhluk tuhan? Apa yang kau cari di dunia ini wahai manusia?Apa yang mambuat kau tersenyum itu wahai sahabat?

Dia pejamkan mata seketat-ketatnya kali ini. Genggam bak genggam bara api biar jadi abu. Harapannya bila dia buka matanya dia akan berada di satu kawasan yang hijau. Di mana ada rama-rama yang berterbangan, burung berkicauan. Ah! Indahnya hidup. Oh tak lupa juga ada air sungai yang datangnya dari air terjun dari hujung kawasan itu. Bunga berwarna dan bau yang wangi apabila dihidu. Seronok bukan kalau hidup semudah itu? Pejam mata, sedar di tempat lain.




Harapan segunung tinggi. Sentiasa bermimpi, berimaginasi sehingga membawa dirinya jauh dari dunia realiti. Dia masih lagi terpejam. Satu persatu jari yang digenggamnya dilepaskan. Kemudian dia cuba meraba kawasan yang dia baring itu. Dengan harapan dia menyentuh batu sungai yang besar, sejuk. 

Sekelip mata dia membuka mata sambil mendengus

"Bodoh"

Lunak suaranya kedengaran sayup-sayup dari hujung bilik batu itu. Bunyian dari kipas siling yang berputar juga kedengaran memecahkan heningnya pagi yang tidak berapa nak pagi itu. 

Dia terlalu banyak bermimpi sedangkan dia tahu realitinya sungguh jauh dari apa yang dia berimaginasi. Apabila dia tersadar, dia menjadi gila. Gila babi! kalau orang kita kata. 

Dia tarik nafas sedalam-dalamnya. Apa yang aku mahukan sebenarnya? Apa tujuan aku buat semua ni? Dia bermonolog dalaman secara pasif.

Dia buta. Perumpamaannya mudah. Dia keluar bilik pandang terus ke atas. Kata kawannya 
"Jika ada masalah, pandanglah ke awan. Bayangkan awan itu satu kemahuan kau"

Jadi dia terus pandang ke atas. Mencari kemahuan dirinya yang entah apa pun dia sendiri tak tahu. Senget ke kiri. Senget ke kanan. Eh, mana awan? Yang ada hanya langit putih. Kecewa lagi. Atau mungkin dia sebenarnya tiada kemahuan? 

"Bodoh"

Dia ulang lagi sekali ungkapan keramat itu. Sebenarnya dia buta, langit putih itu lah awan yang di cari. Bila terlampau banyak awan pada waktu pagi, seluruh seraya langit di tutupi awan langsung tak ternampak langit biru. Dia akhirnya faham.

"Celaka"

Kali ketiga dia menyebut satu ungkapan yang lebih tinggi darjatnya berbanding sebelum ini. Perumpamaannya mudah sahaja. Dia buta bila terlampau banyak awan di depannya sehinggakan dia tidak nampak awan itu. Dia cuba tafsirkan, apabila terlampau banyak kemahuan diri di dalam hidup ini, kau akan buta langsung tak nampak walau satu sahaja kemahuan sebenar diri kau. 

Dia menepuk dirinya sendiri sambil berkata 
"Pilihlah kemahuan sehebat-sehebat kemahuan dalam hidup kerana hidup untuk harini sudah pasti, esok belum tentu"





Comments

  1. 💓💓💓💓💓💓💓

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts